Menu

Selasa, 8 Disember 2009

Saya Suka Ini Artikel (Kasih Suami isteri)

Kalau adalah seorang isteri mengatakan dia tidak mengharap kasih sayang dari suaminya, itu bermakna dia telah berbohong. Sebab, memang tidak ada seorang manusia pun yang tidak ingin dikasihi oleh orang lain kecuali orang gila.

Tapi sayang, suami isteri hari ini kebanyakannya renggang hati mereka, tipis kasih sayang mereka dan selalu bermasam muka. Malah perceraian menjadi perkara biasa. Ertinya ramai sekali wanita kita yang sedang menderita.

Kenapa isteri gagal menjadikan suami sangat menyintainya hingga tidak mahu berpisah dengannya? Inilah persoalan yang mesti dijawab oleh semua wanita hari ini. Mudah-mudahan jawapan ini dapat memberi jalan penyelesaian pada masalah yang mengancam keamanan di dalam rumahtangga.

Kasih sayang dan ketenangan hati suami isteri adalah kurniaan Allah swt. Ertinya, ia bukan olahan manusia yang boleh dibuat-buat, direka dan dirancang-rancang. Sebab soal kasih sayang dan ketenangan adalah soal hati, yang bergerak dan hidup tanpa kawalan lahiriah dan kebendaan. Ia dikawal sendiri oleh Allah swt, secara ghaib dan menggunakan syarat-syarat yang Allah sendiri tentukan. Jadi, untuk mencetuskan kasih sayang dan ketenangan rumahtangga, faktor-faktor hubungan dengan Allah adalah wajib diambil kira. Yakni dengan beriman, beramal dengan syariat Islam serta membanyakkan ingatan (zikir) kepada Allah swt.

Suami isteri yang membelakangkan Allah swt adalah pasangan yang sukar untuk memperolehi ketenangan dan kasih sayang. Hati mereka berpecah, kepercayaan antara satu sama lain hilang dan rasa persefahaman kian luput hari demi hari. Walaupun usaha-usaha lahir yang mungkin sudah cukup dilakukan untuk membina kebahagiaan tetapi selagi hati masih kosong dari mengingati Allah, cuai menjalankan perintah-perintah Allah maka selama itu kasih sayang tidak tumbuh dalam erti kata yang sebenarnya.

Sebab kasih sayang adalah pemberian Allah, dimasukkan ke dalam hati suami isteri yang benar-benar taat dan patuh padanya. Barangkali sukar untuk diakui hakikat ini memandangkan realiti kehidupan rumahtangga yang berbagai-bagai dan tidak terikat pada kenyataan di atas. Orang kafir yang tidak percayakan Allah itu kekal rumahtangganya. Orang Islam yang tidak sembahyang pun ada yang berbahagia nampaknya. Sementelahan rumahtangga ahli agama pun kadang-kadang berkecai. Jadi apa bukti bahawa punca ketenangan dan kasih sayang ialah ketaatan kepada Allah?

Sebenarnya, untuk mengukur benar tidaknya sesuatu kenyataan itu tidaklah boleh hanya menggunakan satu kaedah saja. Sebab Allah swt telah mentakdirkan sesuatu, bukan dengan satu maksud sahaja. Setengah orang kafir beroleh bahagia di dunia kerana Allah mahu merasakan nikmat yang tidak mungkin mereka dapat di akhirat. Orang Islam yang tidak sembahyang dan tidak fikir halal dan haram nampak bahagia juga. Ini adalah kemurkaan Allah sudah tertimpa ke atas mereka dan dengan nikmat itu Allah mahu melalaikan mereka terus menerus hingga mati betul-betul dalam dosa dan terus ke neraka. Manakala ahli agama kadang-kadang pecah rumahtangga mereka, Allah bermaksud menguji dan mahu menghapus dosa-dosa mereka.

Maka ditegaskan sekali lagi, bahawa sumber kasih sayang yang abadi ialah ketaatan kepada Allah oleh suami dan isteri serta anak-anak mereka. Perceraian yang menjadi-jadi dewasa kini adalah berpunca dari tidak taatnya pasangan suami isteri kepada Allah swt. Allah jadikan hati mereka berpecah belah hingga mereka takut pada perceraian tetapi mereka tidak dapat lari darinya. Biarpun rumah besar, harta banyak, kesihatan sempurna dan dunia serba lengkap meliputi mereka, tapi kalau hati berpecah, semua itu tidak boleh mengikat suami isteri itu lagi. Mahu tidak mahu mereka kenalah mengadap Allah swt. Mengaku taat setia padanya dengan tawadhuk. Memohon ketenangan dan kasih sayang untuk hati mereka.

Tiada ulasan:

Usia Perkahwinan Kita

Daisypath Anniversary tickers